Sunday, November 30, 2008

pokok epal ku

Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal
yang amat besar. Seorang kanak-kanak lelaki
begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal
ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut,
memetik serta memakan epal sepuas-puas
hatinya, dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di
perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki tersebut
begitu menyayangi tempat permainannya. Pokok
epal itu juga menyukai budak tersebut.



Masa berlalu... budak lelaki itu sudah besar dan
menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi
menghabiskan masanya setiap hari bermain di
sekitar pokok epal tersebut. Namun begitu, suatu
hari dia datang kepada pokok epal tersebut
dengan wajah yang sedih. "Marilah bermain-
mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu. "Aku
bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar
bermain dengan engkau," jawab budak remaja
itu. "Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang
untuk membelinya," tambah budak remaja itu
dengan nada yang sedih. Lalu pokok epal itu
berkata, "Kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada
padaku. Jualkannya untuk mendapatkan wang.
Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang
kau inginkan." Budak remaja itu dengan
gembiranya memetik semua epal di pokok itu dan
pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu.
Pokok epal itu merasa sedih. Masa berlalu....
Suatu hari, budak remaja itu kembali. Dia semakin
dewasa. Pokok epal itu merasa gembira. "Marilah
bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal
itu. "Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa
bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin
membina rumah sebagai tempat perlindungan
untuk keluargaku.
Bolehkah kau menolongku?" Tanya budak
itu. "Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah.
Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang
besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya."
Pokok epal itu memberikan cadangan. Lalu, budak
yang semakin dewasa itu memotong kesemua
dahan pokok epal itu dan pergi dengan
gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira
tetapi kemudiannya merasa sedih kerana budak
itu tidak kembali lagi selepas itu.

Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang
menemui pokok epal itu. Dia sebenarnya adalah
budak lelaki yang pernah bermain-main dengan
pokok epal itu. Dia telah matang dan
dewasa. "Marilah bermain-mainlah di sekitarku,"
ajak pokok epal itu. "Maafkan aku, tetapi aku
bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di
sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai
cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak
mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?"
tanya lelaki itu. "Aku tidak mempunyai bot untuk
diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong
batang pokok ini untuk dijadikan bot.
Kau akan dapat belayar dengan gembira," cadang
pokok epal itu. Lelaki itu merasa amat gembira
dan menebang batang pokok epal itu. Dia
kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya
dan tidak kembali lagi selepas itu.

Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki
yang semakin dimamah usia, datang menuju
pokok epal itu. Dia adalah budak lelaki yang
pernah bermain di sekitar pokok epal itu. "Maafkan
aku. Aku tidak ada apa-apa lagi nak diberikan
kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk
kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku
untuk kau buat bot. Aku hanya ada tunggul
dengan akar yang hampir mati..." kata pokok epal
itu dengan nada pilu. "Aku tidak mahu epalmu
kerana aku sudah tiada bergigi untuk
memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana
aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak
mahu batang pokokmu kerana aku tidak berupaya untuk
belayar lagi, aku merasa penat dan ingin berehat,"
jawab lelaki tua itu. "Jika begitu, berehatlah di
perduku," cadang pokok epal itu. Lalu lelaki tua itu
duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat.
Mereka berdua menangis kegembiraan.

CERITA INI SENGAJA DIPAPARKAN UNTUK
MENGAJAK PARA REMAJA BERFIKIR
TENTANG
PENGAJARAN DI SEBALIK CERITA TERSEBUT.
SEBENARNYA, POKOK EPAL YANG
DIMAKSUDKAN DI DALAM CERITA ITU ADALAH
KEDUA-DUA IBU BAPA KITA. BILA KITA MASIH
MUDA, KITA SUKA BERMAIN DENGAN
MEREKA. KETIKA KITA MENINGKAT REMAJA,
KITA PERLUKAN BANTUAN MEREKA UNTUK
MENERUSKAN HIDUP. KITA TINGGALKAN
MEREKA, DAN HANYA KEMBALI MEMINTA
PERTOLONGAN APABILA KITA DI DALAM
KESUSAHAN. NAMUN BEGITU, MEREKA
TETAP MENOLONG KITA DAN MELAKUKAN
APA SAHAJA ASALKAN KITA BAHAGIA DAN
GEMBIRA DALAM HIDUP. ANDA MUNGKIN
TERFIKIR BAHAWA BUDAK LELAKI ITU
BERSIKAP KEJAM TERHADAP POKOK EPAL
ITU, TETAPI FIKIRKANLAH, ITU HAKIKATNYA
BAGAIMANA KEBANYAKAN ANAK-ANAK MASA
KINI MELAYAN IBU BAPA MEREKA.
HARGAILAH JASA IBU BAPA KEPADA KITA.
JANGAN HANYA KITA MENGHARGAI MEREKA
SEMASA MENYAMBUT HARI IBU DAN HARI
BAPA SETIAP TAHUN.

" Jika ilmu dan amal tidak membuahkan akhlak
yang mulia, maka ilmu dan amal itu tiada nilainya
di sisi Allah swt dan manusia"

No comments: