Friday, February 6, 2009

Zionis mengaku bedil tiga kanak-kanak Gaza

Israel roboh rumah Palestin pula: Kekejaman Israel bukan hanya di Gaza tetapi juga terhadap warga Palestin di Tebing Barat serta Baitulmaqdis. Foto menunjukkan jentolak Yahudi memusnahkan rumah penduduk Palestin yang didakwa dibina tanpa kebenaran di daerah Isawiyya, kelmarin. Kegiatan mengubah wilayah ditakluki Palestin diteruskan menjelang kunjungan kali kedua utusan Amerika ke Asia Barat, George Mitchell untuk berunding dengan Presiden Mahmud Abbas 26 Februari ini.




Keganasan terbaru Yahudi didedah ketika Hamas kian popular


BAITULMAQDIS: Tentera Israel kelmarin mengakui anggotanya membunuh tiga anak perempuan seorang doktor Palestin dalam kempen di Gaza kerana tersalah anggap mereka membantu pejuang melakukan serangan balas dengan satu tinjauan kini menunjukkan pergerakan Hamas semakin popular di kalangan penduduk.

Dr Ezzedine Abu al-Eish menghubungi stesen televisyen Israel untuk mengemukakan bantahan atas kematian anak perempuannya, Bissam, 20; Mayar, 14 dan Aya, 13.

"Mereka hanya budak. Mereka dibom. Kenapa mereka dibunuh?" tanyanya sambil menangis. Tentera Israel mengesahkan bahawa siasatan 16 Januari lalu mendapati 'dua bedilan kereta kebal IDF (tentera) mengakibatkan kematian tiga anak perempuan Dr Ezzedine.

Kenyataan itu memberi alasan bahawa unit Briged Infantri Golani membalas serangan penembak curi dan bedilan meriam di kawasan penuh dengan letupan.

"Lokasi serangan itu dikenal pasti daripada sebuah rumah di sebelah rumah doktor berkenaan dan pihak tentera pun melakukan serangan balas," kata pihak tentera.

Katanya kenyataan itu, tembakan dilepaskan ke arah 'orang yang disyaki' di bahagian atas rumah doktor itu yang disangka pengintip Hamas.

"Tembakan inilah yang mengakibatkan kematian anak perempuan doktor Ezzedine," kata kenyataan itu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, serangan Israel di Gaza yang mengorbankan lebih 1,300 penduduk dan menyebabkan sebahagian besar wilayah itu musnah, sekadar meningkatkan populariti Hamas, menurut satu tinjauan terbaru.

Hamas mendapat 28.6 peratus undian berbanding 27.9 peratus untuk Fatah yang dipimpin Presiden Mahmud Abbas jika pilihan raya diadakan semalam, menurut tinjauan Pusat Komunikasi dan Media Baitulmaqdis.

Ia menunjukkan buat kali pertama tinjauan pendapat meletakkan Hamas di depan Fatah, yang diusir dari Gaza pada Jun 2007.

Hamas menang besar dalam pilihan raya Parlimen pada Januari 2006, menyangkal ramalan ia kurang sokongan.

Ironinya, tinjauan terbaru mendapati Hamas mendapat sokongan lebih kuat di Tebing Barat yang diceroboh Israel, dan masih ditadbir Mahmud Abbas, berbanding di Gaza.

Tinjauan di Gaza mendapati Hamas memperoleh 28 peratus berbanding 33.6 peratus untuk Fatah. Di Tebing Barat, tinjauan memberikan Hamas 29 peratus sokongan berbanding cuma 24.5 peratus bagi lawannya