Sunday, November 30, 2008

Debat antara agama Ahmed Deedat popular

UMAT Islam di seluruh dunia yang mengenali Ahmed Deedat semestinya terkejut apabila mendapat berita bahawa pendakwah terkenal dari Afrika Selatan itu meninggal dunia pada 8hb Ogos 2005 hari Isnin yang lalu.
Adalah tidak keterlaluan dikatakan bahawa dunia Islam kehilangan seorang pendakwah dalam bidang perbandingan agama.
Sepanjang hayatnya selama 87 tahun, ramai bersetuju bahawa Ahmed adalah seorang yang amat komited dalam penyebaran dakwah Islam.
Justeru, pepatah yang mengatakan bahawa harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama boleh sahaja dikaitkan dengan Ahmed.
Hati manusia seperti Ahmed sebenarnya tidak pernah terpisah dengan dakwah dan penyebaran Islam.
Dalam satu berita yang disiarkan di IslamOnline.net kelmarin ada disebut bahawa kali terakhir Ahmed menyampaikan dakwahnya ialah semasa di Sydney, Australia pada tahun 1996.
Hanya selepas itu Ahmed mendapat penyakit kronik seterusnya menyebabkannya terbaring di atas katil untuk tempoh sembilan tahun sehingga ke detik akhir kematiannya.
Dakwah di Australia itu bagaimanapun dianggap oleh para ilmuwan Islam sebagai salah satu pengajaran agama paling bersemangat dan `menyentuh hati' berbanding dakwah-dakwah sebelum itu.
Walaupun telah meninggal dunia, semangat Ahmad sebagai seorang pendakwah harus diteladani.
Sekalipun dibebani masalah dan meniti kehidupan dengan penuh liku, semangatnya tidak pernah pudar dalam menyampaikan apa yang sepatutnya disampaikan kepada seluruh umat pelbagai agama.
Tetapi di sebalik `kepayahan' itu, beliau terus memberi ilham, mendidik dan menggalakkan orang ramai menerima mesej tentang Islam.
Semasa sakit, Ahmed dikatakan berkomunikasi dengan menggunakan isyarat mata.
Allahyarham dilahirkan pada 1 Julai 1918 di daerah Surat, India sebelum keluarganya berhijrah ke Afrika Selatan pada tahun 1927.
Hanya ketika di Afrika Selatan, Ahmed mencipta sesuatu untuk muncul sebagai seorang pendakwah agama Islam.
Sebuah institusi agama yang dibangunkan di negara Afrika bagi melatih pendakwah di Institut Assalaam di Braemar adalah cerminan usaha pertama beliau ke arah itu.
Malahan Ahmed juga pengasas pertubuhan dakwah terbesar di dunia iaitu Pusat Penyebaran Islam Antarabangsa (IPCI).
Apabila diserang angin ahmar, Allahyarham bukan sahaja hidup dalam serba kepayahan tetapi lebih daripada itu, Ahmed kehilangan suara untuk bercakap, pemberian paling berharga yang digunakannya secara berkesan dalam menuangkan pandangan tentang Islam dan agama.
Tetapi dalam sejarahnya, Allahyarham dikenang sebagai seorang pendakwah yang sangat murah hati - mengedarkan lebih 20 juta naskhah buku tulisan sendiri dan kaset secara percuma untuk tujuan dakwah.
Bukan itu sahaja, jasanya dalam pendakwahan terus dihitung di seluruh dunia kerana karya-karyanya banyak diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia, Urdu, Arab, Cina, Jepun, Melayu, Indonesia, Zulu, Belanda, Norway dan sebagainya.
Dan lebih membanggakan, di negara tempat tinggalnya iaitu Afrika Selatan, beratus-ratus orang memeluk Islam termasuk sejumlah besar mubaligh kerana tertarik dengan dakwah beliau.
Ahmed banyak terlibat dalam siri perdebatan mengenai agama semasa hayatnya.
Salah satu perdebatan Allahyarham yang terkenal bertajuk Was Christ Crucified? iaitu semasa beliau berhujah dengan Paderi Josh McDowell di Durban pada tahun 1981.
Buku tulisannya berjumlah lebih 20 buah. Tetapi antara buku Allahyarham yang terkenal termasuklah The Choice - Between Islam and Christianity; Is the Bible Gods Word; Al-Quran the Miracle of Miracles dan What the Bible Says About Muhammad.
Buku yang menimbulkan kontroversi pula tentunya Al-Quran the Miracle of Miracle di mana Ahmed mengemukakan hujah bernas dan pandangan berani mengenai keistimewaan al-Quran.
Ramai orang Kristian yang berang tetapi banyak juga yang memeluk Islam kerana buku berkenaan.
Ekoran jasanya dan iltizam dalam berdakwah, Ahmed diberikan Anugerah Antarabangsa Raja Faisal pada tahun 1986.
Allahyarham adalah satu-satunya warga Afrika Selatan yang menerima anugerah berkenaan kerana tugas-tugasnya dalam menyebarkan dakwah Islam.
Dalam berdakwah, Ahmed sebenarnya tidak menerima pendidikan persekolahan secara rasmi tetapi belajar melalui pengalaman dan bersungguh-sungguh mencintai buku, terlibat dalam perbahasan, perbincangan dan sangat komited dalam mencapai apa yang menjadi matlamatnya.
Laporan televisyen satelit Al-Jazeera menyebut bahawa, karier Ahmed sebagai pendakwah membawa Allahyarham terlibat dalam siri dialog.
Antaranya ialah membabitkannya dengan ketua-ketua gereja Protestant di Amerika Syarikat dan mendiang Pope John Paul II.
Pada tahun 1980-an, nama Ahmed menjadi sebutan kerana Allahyarham terlibat dalam perdebatan dengan Paderi Jimmy Swaggart dan tidak dibenarkan memasuki Perancis serta Nigeria atas alasan pandangannya dibimbangi mencetuskan huru-hara.
Seorang rakan Ahmed dalam IPCI, Babu Jadwar dalam South African Independent Online menjelaskan kenapa Allahyarham menjadi kontroversi.
``Ahmed Deedat adalah reaksi kepada provokasi gereja di seluruh dunia ke atas Islam.
``Dari Amerika ke Indonesia, beliau diangkat sebagai individu yang banyak menyumbang dan berkorban demi Islam,'' kata Babu.
Di sebalik kontroversi berkenaan, pasti ulama-ulama Islam di seluruh dunia bersetuju dengan pandangan rakan Ahmed itu. - Agensi

No comments: