Sunday, November 30, 2008

Kisah Islamnya Abu Bakar al-Siddiq -

Kisah Islamnya Abu Bakar al-Siddiq -
Pembantu Utama Rasulullah SAW


Saiyidina Abu Bakar RA sebelum Islamnya adalah
seorang yang sangat mencari kebenaran. Beliau berketurunan
Bani Tamim. Dia tidak percaya kepada berhala-berhala
yang menjadi sembahan kaumnya. Dia berusaha mencari
kepastian tentang Nabi dan Rasul yang akan diutuskan oleh
Allah s.w.t…seperti yang selalu didengarnya.

Dia telah pergi bertemu dengan pendita yang masih
berpegang pada ajaran kitab Taurat yang tulen di Yaman.
Pendita itu dapat menerangkan kepada Saiyidina Abu Bakar
akan Rasulullah s.a.w yang akan diutuskan di Tanah Haram
(Makkah) yang akan dibantu oleh dua orang sahabat,
seorang separuh umur dan seorang yang muda.
Pendita itu menerangkan lagi tanda-tanda sahabat
yang separuh umur,"Putih kulitnya, berbadan kurus,
ada tahi lalat di perutnya dan ada satu tanda
di paha kirinya."

Setelah Saiyidina Abu Bakar r.a membuka pakaiannya dan mencari tanda2 tersebut,
jelas terdapat tanda-tanda yang disebutkan oleh pendita itu.
Pendita itu meminta Saiyidina Abu Bakar r.a menyampaikan syairnya
kepada bakal Rasul itu. Ia membawa pulang ke Makkah syair itu.

Sampai di Makkah orang sudah gempar berita kerasulan
Nabi Muhammad s.a.w. Saiyidina Abu Bakar r.a. pergi bertemu
dengan Nabi Muhammad s.a.w. ia menyampaikan pandangan
kurang senang penduduk Makkah. Lalu Nabi Muhammad s.a.w
bersabda (maksudnya), "Bahawa aku Rasulullah kepada kamu
dan kepada semua manusia."

Saidina Abu Bakar r.a. bertanya, "Apakah buktinya?"

Jawab Rasulullah s.a.w " Orang tua yang kamu temui di
Yaman beberapa hari lalu."
"Siapakah yang memberitahu kamu, wahai kekasihku?"
Tanya Saiyidina Abu Bakar r.a.
"Malaikat yang telah menemui Nabi sebelumku."
Jelas Rasulullah s.a.w.

"Hulurkanlah tanganmu dan sesungguhnya aku mengakui
bahawa tiada Tuhan selain Allah s.w.t. dan engkau adalah
Rasulullah s.a.w." ucap Saiyidina Abu Bakar.

"Di mana dan kepada siapa sahaja aku serukan Islam, orang
itu akan bertanya, bertangguh-tangguh atau terus menentang,
tetapi tidak begitu halnya dengan Abu Bakar.
terus menerima tanpa soal jawab."

(Maksud Hadith, riwayat Imam al-Suyuti)

-------------------------------------------------------
Rujukan ;
SIRAH~Ustaz Abdul Rahman Rukaini
Synergymate Sdn Bhd
2001

No comments: