Monday, December 1, 2008

merajuk sama dengan marah

Kenapa merajuk?
Seringkali orang merajuk kerana dia kecil hati
orang lain tidak mengindahkannya. Sama ada
orang tidak memuliakannya dengan
memberikannya satu kedudukan atau tempat yang
istimewa, atau tidak menerima pandangannya,
atau tidak menunaikan permintaannya.

Siapa yang kena penyakit merajuk?
Penyakit merajuk ini boleh kena pada siapa-siapa
sahaja. Tidak kira lelaki atau perempuan. Tidak
kira tua atau pun muda. Orang yang besar atau
pun kecil. Anak boleh merajuk dengan emak,
emak boleh merajuk dengan anak.

Punca merajuk
Merajuk ini berpunca dari hati yang kurang ada
rasa kehambaan. Bila tidak rasa diri hamba, dia
akan merasakan yang dirinya itu tuan.
Sebagai tuan, dia perlulah dimuliakan. Kata-
katanya perlu didengar dan dikotakan.

Sebenarnya, hatinya marah kerana tidak diberi
perhatian. Tetapi mungkin kerana malu atau tidak
ada kuasa, ataupun mungkin kerana beranggapan
yang marah-marah itu satu sikap yang lebih tidak
baik, marahnya pun tidak dilepaskan. Sebaliknya,
dia mengalihkan marahnya kepada merajuk.
Dengan merajuk, orang akan faham yang dia
sebenarnya marah walaupun dia sekadar
mendiamkan diri sahaja.

Apakah merajuk lebih baik dari marah?
Kedua-duanya adalah sifat terkeji yang mesti
diungkai. Kedua-duanya timbul dari rasa diri mulia
yang mesti dihormati. Lebih ditakuti lagi kalau
orang yang merajuk itu menyangka yang sikapnya
itu tidak salah atau dirinya itu lebih baik daripada
orang yang marah-marah. Dia sebenarnya sudah
tertipu. Dan kalau dia tidak bertaubat atas
dosanya ini, dia akan dihukum di akhirat kelak.

Bagaimana mengubati sikap merajuk?
Untuk mengubati sikap merajuk, kita perlulah
tanamkan sifat berTuhan dan sifat kehambaan.
Sifat berTuhan ialah merasakan yang Tuhan itu
Maha Berkuasa. Dia boleh timpakan apa sahaja
ke atas kita sama ada perkara yang kita suka
ataupun tidak. Kalau kita membantah sama ada
dengan cara marah-marah atau merajuk, kita
bukan sahaja marah atau merajuk kepada orang
yang menyakiti hati kita itu, tetapi kita juga
sebenarnya menentang takdir Tuhan ke atas diri
kita. Kalau Tuhan tidak izinkan perkara itu berlaku
ke atas kita, tentu ia tidak akan berlaku.
Berlakunya ia ke atas kita ialah kerana Tuhan
memang hendakkan perkara itu berlaku.

Sifat kehambaan pula ialah merasakan yang kita
ini hamba yang lemah dan tidak berkuasa.
Siapalah kita yang hendak menolak takdir Tuhan.
Kita harus terima apa sahaja yang Tuhan timpakan
ke atas kita. Kalau orang tidak muliakan kita,
memang kita pun tidak layak untuk dimuliakan.

Sebagai hamba, kita juga merasakan yang diri kita
banyak berdosa. Justeru itu, layak sangatlah kalau
hati kita disakiti, moga-moga dengan kita
bersabar, Tuhan akan hapuskan dosa-dosa kita.
Kita juga mungkin sudah lebih banyak menyakiti
hati orang lain. Lantaran itu, kita patutlah bersabar
bila hati kita sedikit sebanyak disakitkan pula...

Wallahu ta'ala a'lam........

No comments: