Monday, December 1, 2008

hakikat bercinta sama dengan zina

Renungan bersama
Maaf saya tidak menuduh awak berzina ,tetapi awak menghampiri zina........

KAMI HANYA BERBUAL-BUAL, BERBINCANG, BERTANYA KHABAR,MINUM-MINUM DI KAFE. ADAKAH ITU MENGHAMPIRI ZINA?
Ya,perbuatan itu boleh menjerumuskan pelakunya ke lembah penzinaan.

KAMI DAPAT MENGAWAL PERASAAN DAN KAMI TIDAK BERNIAT KE ARAH ITU.
Hari ini ya.Esok mungkin kamu kecundang.
Iblis akan memerangkap kamu.Iblis amat
berpengalaman dan tipu dayanya sangat
halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama,
Adam dan Hawa. Iblis amat licik. Ingat ,pesanan
Rasulullah :Janganlah engkau bersendirian
denga seorang wanita kecuali yang ketiganya ,
syaitan (Tabrani) .Kita lemah menghadapi tipu daya Iblis.

TIDAK SEMESTINYA SEMUA ORANG BERCINTA MENJURUS
KEPADA PENZINAAN. ADA YANG BERCINTA DALAM
TELEFON DAN HANTAR SMS SAHAJA. TIDAK PERNAH
BERSUA MUKA PUN!
Betul .Tetapi itu adalah salah satu yang
dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang
pada awalnya tidak bersua muka. Tapi perasaan
pasti bergelora,lambat laun desakan nafsu dan
perasaan serta hasutan Iblis akan mengheret
kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama
tidak akan terhenti disitu sahaja.Percayalah, ia
akan berlanjutan. Tidakkah itu boleh
membawa kepada perzinaan akhirnya?

TAKKAN NAK BERBUAL-BUAL PUN TAK BOLEH? ITUPUN ZINA KE?
Zina ada bermacam-macam jenis dan
peringkatnya, ada zina betul, ada zina tangan iaitu
berpegang-pegangan, ada zina mata iaitu melihat
kekasih dengan perasaan berahi. Zina hati iaitu
dengan khayalan berahi dengan kekasih
sepertimana yang digambarkan oleh
Rasulullah :
Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya
adalah menyentuh. Kedua kaki juga berzina dan
zinanya menuju ke tempat pertemuan. Mulut juga
berzina dan zinanya adalah ciuman (muslim dan
Abu Daud). Sebenarnya jalan menuju kepada
perzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita
melalui mana-mana jalan perzinaan.

DUDUK BERDISKUSI PELAJARAN TAK BOLEH KE? BINCANG PELAJARAN SAHAJA!
*(bagi kes belajar berdua-duaan SAHAJA)*
Berdiskusi pelajaran, betul ke? Jangan tipu. Allah
tahu apa yang terselit di dalam hati hamba-
hambaNya. Kita belajar nak keberkatan. Kalau
cemerlang sekalipun, kalau tidak diberkati oleh
Allah, kejayaan tidak akan membawa
kebahagiaan. Hidup di dunia tidak bahagia,akhirat
lagi lah. Jangan berselindung disebalik pelajaran
yang mulia. Allah suka kepada orang berilmu. Jadi
belajar hendaklah ikut batas dan ketentuan Allah.
Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi
macam ni akan ditulis oleh malaikat Raqib dan Atid.

SUNGGUH! BINCANG PELAJARAN SAHAJA. NI STUDY GROUP.
*(bagi kes berdua-duaan SAHAJA)
Study Group...? nampak lain macam saja, manja,
senyum memanjang, tak macam gaya berdiskusi.
Takkan study group berdua sahaja? Kemana-
manapun berdua. Kalau ye pun, carilah group
study ramai sikit. Kalau duduk berdua-duaan
macam ni...betul ke bincang pelajaran?
Jangan-jangan sekejap saja bincang
pelajaran, yang lain tu... banyak masa dihabiskan
dengan fantasi cinta!

TIDAKLAH. SUNGGUH BERBINCANG PELAJARAN.
Baik sungguh awak berdua. Takkanlah awak
berdua tak ada perasaan apa-apa? Awak kurang
sihat ke? Ingat, kita bukan malaikat, tak ada
nafsu. Kita manusia. Jangan menafikan fitrah
manusia. Kita ada nafsu, ada keinginan.
Itulah manusia.

KAMI BERDUA SAMA-SAMA BELAJAR, STUDY GROUP, SALING MEMBERI SEMANGAT DAN MOTIVASI.
Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan
rakan belajar? Habis sudahkah kaum sejenis yang
boleh memberikan motivasi? Jangan hina kaum
sejenis kita. Ingat, banyak orang cemerlang yang
belajar hanya dengan kaum sejenis. Lebih tenang
perasaan, tidak terganggu, dapat berkat dan
rahmat pula.

TAKKANLAH TAK ADA LANGSUNG RUANG YANG DIBERNARKAN DALAM ISLAM UNTUK BERCINTA? ADAKAH ISLAM MEMBUNUH TERUS NALURI CINTA?
Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan
kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka
kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah.
Kalau naluri itu tidak wujud pada diri seseorang,
tak normal namanya. Islam bukan datang
membunuh naluri dan keinginan itu, tidak! Islam
tidak suruh membunuh naluri seperti yang
dilakukan oleh para paderi atau sami. Jangan
nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri
sendiri. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan
itu datang tanpa diundang. Itu adalah fitrah.
*****a tudukkan naluri itu untuk patuh pada perintah
Allah. Jadilah manusia yang sihat nalurinya.
Jangan jadi malaikat! Kerana Allah jadikan kita
sebagai manusia. Dunia dan segala isinya akan hambar tanpa
naluri atau nafsu.

TENTU ADA CINTA SECARA ISLAM.
Cinta secara Islam hanya satu, iaitu perkahwinan.
Cinta berlaku setelah ijab kabul, cinta selepas
kahwin. Itulah cinta sacral dan qudus. Cinta
yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah
kemuliaan Islam. Apabila Islam menegah sesuatu
perkara, tentu ia gantikan dengan sesuatu yang lebih
baik. Jika ia menegah cinta antara lelaki dan
perempuan sebelum kahwin, ia membawa perkahwinan
sebagai ganti yang lebih baik. Sabda
Rasulullah :
Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang
yang saling mencintai kecuali nikah. (Ibnu Majah).
Cinta adalah maruah manusia. Ia telalu mulia.

KALAU BEGITU, CINTA REMAJA SEMUA MENGHAMPIRI KEPADA PENZINAAN?
Ya, kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu
perasaan turut terusik. Kemudian perasaan
dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian diatur
pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua.
Kemudian mencari tempat sunyi sedikit.
Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap.
Hubungan makin akrab, dah berani pegang tangan,
duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan,
sekarang macam pengantin baru semalam
bukankah mereka semakin hampir dengan
penzinaan? Berapa ramai orang yang bercinta
telah sampai kepada daerah penzinaan dan
kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibu bapa yang
melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa
noda daripada seekor nyamuk sekalipun!

MASIH RAMAI ORANG YANG BERCINTA TETAPI TETAP SELAMAT TIDAK SAMPAI BERZINA. KAMI TAHAN DIUJI.
Allah yang menciptakan manusia, Dia tahu
kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia tidak
tahan ujian. Oleh itu Allah memerintahkan supaya
jauhi perkara yang ditegah takut manusia akan kecundang.

JADI MANUSIA ITU TIDAK TAHAN DIUJI?
Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa,
sejak dari awal penciptaan manusia. Allah
takdirkan satu peristiwa untuk iktibar
manusia.Allah tegah Adam dan Hawa supaya
tidak memakan buah khuldi dalam syurga.
Buah yang lain boleh makan. Allah tahu kelemahan
pada ciptaan manusia. Tidak tahan diuji. Oleh itu
Allah berpesan kepada Adam dan Hawa,
jangan menghampiri pokok khuldi itu. Firman Allah:
Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di
dalam syurga serta makanlah dari makanannya
sepuas-puasnya apa yang kamu sukai, dan
janganlah kamu hampiri pokok ini. (jika kamu
menghampirinya) maka kamu adalah
orang-orang yang zalim (al-Araf:19)
Tegahan yang sebenarnya adalah memakan
buah khuldi. Jika menghampiri perkara tegahan,
takut nanti mereka akan memakannya.
Demikianlah dengan zina. Ditegah berzina. Maka jalan ke
arah penzinaan juga dilarang. Takut apabila
berhadapan dengan godaan zina, kedua-duanya akan
kecundang.Cukuplah kita belajar daripada
pengalaman nenek moyang kita Adam dan Hawa.

TETAPI CINTA SELEPAS KAHWIN BANYAK MASALAH. KITA TAK KENAL PASANGAN KITA SECARA DEKAT. BERCINTA ADALAH UNTUK MENGENAL HATI BUDI PASANGAN SEBELUM BUAT KEPUTUSAN KAHWIN.
Bolehkah percaya dengan perwatakan masa
sedang bercinta? Bercinta penuh dengan lakonan
yang dibuat-buat dan kepura-puraan. Masing-
masing akan berlakon dengan watak terbaik.
Penyayang, penyabar, pemurah dan
berbagai- bagai lagi. Masa bercinta merajuk ada yang pujuk.
Jangan harap lepas kahwin, bila merajuk
akan ada yang pujuk. Banyak orang yang kecewa dan
tertipu dengan keperibadian pasangan semasa
bercinta. Perangai pasangan jauh berbeza.
Macam langit dan bumi. Masa bercinta, dia seorang
yang amat penyayang, penyabar, sabar tunggu
pasangan terlambat sampai berjam-jam.
Tapi bila dah kahwin, lewat lima minit, dah kena tengking.
Jadi, perwatakan dalam masa bercinta tidak
boleh dipercayai. Percintaan adalah suatu kepuraan
atau hipokrit. Kalau mahu mengetahui peribadi
pasangan, itulah sebabnya Islam ada membuat pertunangan.
Tetapi pertunangan juga ada batasan yang
sama seperti sebelum kahwin. Syarat-syarat
semasa dalam pertunangan juga sama ketika sebelum berkahwin.
Hanya perkahwinan sahaja yang
menghalalkan perkara-perkara yang haram antara lelaki dan
perempuan yang bukan muhrim. Jika mahu
mengenali hati budi pasangan, adalah dicadangkan
supaya pasangan tunang itu bertemu sahaja di
rumah pasangan masing-masing bersama-sama dengan
keluarga masing-masing. Bukankah itu lebih baik?
Keluarga dari kedua-dua belah pihak boleh
mengenali sesama sendiri dengan lebih dekat lagi.

PERCAYALAH, KAMI BERCINTA DEMI MERANCANG KEBAHAGIAAN HIDUP NANTI.
Bagaimana diharap kebahagiaan jika tidak
mendapat redha Allah? Kebahagiaan adalah
anugerah Allah kepada hamba-hambaNya
yang terpilih. Kebahagiaan bukan ciptaan
manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan.
Allah yang menganugerahkannya.
Bagaimana mendapat anugerah kebahagiaan itu,
jika jalan mencapai kebahagiaan itu tidak diredhai
Allah. Kebahagiaan hidup berumah tangga
mestilah melalui proses yang betul. Sudah tentu
prosesnya bukan bercinta begini, Allah tidak
meredhai percintaan ini. Cinta yang diredhai Allah
adalah cinta selepas kahwin. Bagaimana
untuk mendapat keluarga yang bahagia jika
langkah mula sudahpun canggung, bagaimana kesudahannya?

TANYA SIKIT, ADIK ANGKAT, KAKAK ANGKAT, ABANG ANGKAT BOLEH KE? GANTI BERCINTA
Semua itu adalah perangkap iblis dan syaitan.
Hakikatnya adalah sama. Cinta yang diberi nafas
baru. Kulitnya nampak berlainan, tetapi isinya
adalah sama. Adik angkat, kakak angkat, abang
angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan
syaitan. Manusia yang terlibat dengan
budaya angkat ini sebenarnya telah masuk
dalam perangkap syaitan. *****a menunggu masa
untuk dikorbankan. Namakan apa nama sekalipun,
abang angkat ke, motivator ke, semuanya
adalah sama. Jalan akhirnya akan bertemu dengan zina.

JADI SEOLAH-OLAH ORANG YANG BERCINTA TELAH HILANG MARUAH DIRI?
Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh
manusia tetapi oleh Pencipta manusia.Orang
yang sedang mabuk bercinta akan mengatakan
orang yang bercinta tidak menjejaskan maruah
dirinya. Manakala, bagi orang yang menjaga diri, tidak
mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin,
akan mengatakan orang yang bercinta sudah tidak
bermaruah lagi. Cintanya ditumpahkan
kepada orang yang belum layak menerima cinta suci.
Kalau begitu ukuran bermaruah atau tidak
adalah ditentukan oleh Allah.

ADAKAH ORANG YANG BERCINTA HILANG MARUAH?
Antara kemulian manusia adalah maruah dirinya.
Orang yang bercinta seolah-olah cuba
menggadaikan maruahnya kerana mereka
menghampiri perzinaan. Manakala orang yang
bercinta dan pernah berzina tidak layak berkahwin
kecuali dengan orang yang pernah berzina.
Allah berfirman:
Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin
berkahwin melainkan dengan perempuan yang
berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan
yang berzina itu pula tidak ingin berkahwin dengan
melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki
musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu
terlarang kepada orang-orang yang beriman.
(Surah An-Nur: 3)
Jadi, orang yang pernah bercinta
juga tidak sesuai untuk berkahwin dengan orang
yang tidak pernah bercinta. Tidakkah itu suatu
penghinaan dari Tuhan.

JADI ORANG YANG BERCINTA HANYA LAYAK BERKAHWIN DENGAN ORANG YANG PERNAH BERCINTA JUGA?
Itulah pasangan yang layak untuk dirinya.
Kerana wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik.
Lelaki yang baik untuk wanita yang baik.

KAMI TELAH BERJANJI SEHIDUP SEMATI
Apa ada pada janji cinta? Berapa banyak sudah
janji cinta yang musnah? Lelaki, jangan diharap
pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang
keemasan sahaja. Habis madu, sepah dibuang.
Pepatah itu diungkap kerana ia sering berulang
sehingga menjadi pepatah.

SI DIA INI LAIN DARI YANG LAIN. DIA LELAKI YANG PENYAYANG DAN BERTANGGUNGJAWAB.
Tahukah hati budi lelaki? Sejahat mana lelaki,
apabila ingin mengambil seseorang wanita sebagai
isteri dan seterusnya menjadi ibu untuk anak-
anaknya, dia akan memilih wanita yang baik.
Tetapi untuk berseronok dan berfoya-foya, lelaki
biasanya akan memilih perempuan murahan
kerana ia suatu pelaburan yang
menguntungkan. Itulah rahsia lelaki.

JADI, PEREMPUAN YANG BERCINTA, JATUH MARUAHNYA PADA PANDANGAN LELAKI? (tidak mengikut syariat)
Tentu. Mana ada orang lelaki yang normal suka
pada barang yang second hand sedangkan
barang yang baru masih ada. Sesetengah mereka
menggambarkan perempuan seperti kereta yang
diletakkan di bilik pameran sahaja.Tapi ada orang
yang boleh test drive. Ada pula yang kata;
sekadar sepinggan mee goreng dan segelas sirap
bandung, bawalah ke hulu, ke hilir. Sedihkan.
Itulah hakikatnya.

MASSIH ADAKAH ORANG YANG TIDAK BERCINTA DI ZAMAN INI?
Ya, masih ada orang suci dalam debu.
Golongan ini akan sentiasa ada walaupun jumlah
mereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti.
Mereka ada pasangannya. Firman Allah:
Dan orang-orang lelaki yang memelihara
kehormatannya serta orang-orang perempuan yang
memelihara kehormatannya (yang
memelihara dirinya dari melakukan zina)... Allah telah
menyediakan bagi mereka segala
keampunan dan pahala yang besar. (Surah Al-Ahzab: 35)

BAGAIMANA KAMI?
Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan
taubat nasuha. Berdoalah serta mohon
keampunan dariNya. Mohonlah petunjuk dan
kekuatan untuk mendapat redhaNya.

KAMI INGIN MENDAPAT REDHA TUHAN. TUNJUKKANLAH BAGAIMANA TAUBAT NASUHA.
Taubat yang murni. Taubat yang sebenar-
benarnya. Taubat yang memenuhi tiga syarat:
Tinggalkan perbuatan maksiat. Putuskan
hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini.
Menyesal. Menginsafi diri diatas tindak tanduk
hidup yang menjurus diri dalam percintaan.
Berazam. Bertekad didalam hati tidak akan
bercinta lagi dengan sesiapa kecuali dengan
seseorang yang bernama isteri atau
suami .Saatnya adalah selepas ijab kabul.
Ingatlah semakin bebas pergaulan sebelum berkahwin,
semakin hambar & kurang rasa cinta setelah menjadi suami isteri.

Ya Allah. Hambamu ini telah tersesat jalan.
Ampunilah dosa-dosa hambamu ini.
Sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan
penerima taubat . Berilah kekuatan kepadaku
untuk menghadapi godaan keremajaan ini.
Anugerahkan kepadaku perasaan benci kepada
maksiat. Hiasilah diriku dengan akhlak yang mulia.
Ibu dan ayah, anakmu berdosa . Engkau jaga
diriku sedari kecil dengan kasih sayang.
Mengapaku curahkan kasih itu kepada orang lain.
Oh Tuhan, hambamu ini berdosa Amin , yarabbal alamin. Moga Allah terima
taubat mu.

KITA BERPISAH KERANA ALLAH, KALAU ADA JODOH, TIDAK KEMANA

No comments: