Monday, December 1, 2008

masjid batu

MASJID BATU: MUSAFIR PUN BERTEDUH.
Oleh: Azizi Hj. Abdullah.

Singgahlah sebantar wahai musafir,
Iktikaflah sebentar wahai jiwa yang lara,
Berjemaahlah sekadar satu waktu,
Di sini, Masjid Batu,
Engkau akan menerima salam
Dari mereka yang ramah,
Selamat berteduh,
Selamat tenang,
Salam sejahtera.

Kocaklah air kolahnya,
Simbahlah ke muka,
Ia adalah zamzam yang ditakung dalam buyung,
Sujudlah ke sejadah,
Atau bermunajat,
Atau hanya beriktikaf,
Engkau akan terasa wahai musafir,
Malaikat sedang mengepakkan sayapnya,
Mengibas dengan angin syahdu,
Menjadikan engkau mampu seribu zikir,

Masjid Batu,
Engkau tiada apa-apa istimewa,
Tapi mereka dan aku ini adalah musafir
Yang tidak pernah terasa,
Damai hening, tenang sepi,
Yang sukar aku tafsir bahagia,
Seperti mereka yang pernah sujud di sana,

Masjid Batu,
Nyatalah engkau
Batu bata, simen-dinding adalah jemaah
Yang lama memacak akidah,
Pelaburan dari tuan-tuan guru,
Singgahlah wahai musafir tak berkasut,
Yang gersang dengan akidah,
Bersolat jemaahlah bersama-sama,
Kelak engkau akan tahu sebenarnya Dinul Islam
Kelak engkau akan jadi pengikut setia,
Setelah Muslimmu diMuslimkan.


Coretan pena al-Faqir Ila Allah……(5183)

Saban hari kita diingatkan dengan laungan azan yang memanggil manusia mengerjakan solat secara berjamaah. Dan beruntunglah bagi mereka yang menyahut seruan azan dengan memenuhkan saf-saf dalam masjid atau surau. Dikatakan pada zaman sahabat, mereka saling berebut untuk mendapat saf pertama kerana kelebihnnya. Bagi lelaki saf terbaik adalah saf yang terkehadapan, manakala bagi perempuan saf terbaik adalah yang terkebelakang. Solat jamaah adalah 27 kali ganda ganjarannya berbanding solat sendirian. Kita ini ibarat musafir di dunia ini, kerana tujuan hakiki kita ialah akhirat. Kita ada mendengar “Dunia jambatan akhirat”. Dan sepanjang permusafiran ini kita akan diuji dengan dua keadaan, dan kita sendiri yang berhak memilihnya: sama ada memilih jalan kebaikan yang penuh dengan ujian kesabaran, yang tidak menyedapkan nafsu atau memilih jalan kejahatan menjadikannya lalai dengan kenikmatan dunia yang mendambakan redha manusia dan selera nafsunya dipenuhi. Dunia adalah neraka bagi mukmin, dan syurga bagi orang yang kafir.
Secara praktikal solat jamaah mendidik kita supaya hidup dalam keadaan saling melengkapi dan memerlukan. Kita selamanya tidak mampu menyediakan semua perkara untuk diri kita melainkan mendapat bantuan daripada orang lain. Apakah bisa seseorang menjadi jurutera dalam masa yang sama dia menjadi petani untuk makanan rujinya, menjadi nelayan untuk mendapat ikan, atau juga menjadi doctor untuk mengubat penyakitnya? Ia sama sekali mustahil! Solat berjamaah juga mengajar kita supaya melakukan kerja dalam konsep kebersamaan, semangat kekitaan akan terbina dengan makmum patuh kepada seorang Imam sebagai pemimpin. Selamanya seorang imam apabila terlupa ia akan diingatkan oleh makmum seperti ucapan “subhanallah” bagi lelaki. Hal ini menunjukkan dalam kepimpinan seorang ketua tidak selamanya betul dan kadang mesti menerima teguran daripada orang bawahannya dengan baik. Selain itu, imam yang dilantik akan sah sebagai imam selama mana ia diterima oleh makmum, solat jamaah adalah medan untuk mempersatukan hati-hati orang yang beriman, usah dicakapkan tentang perpaduan dengan menganjurkan festival kebudayaan, atau pancawarna atau bentuk perhimpunan yang diisikan dengan hiburan yang melalaikan, bercampur antara lelaki perempuan tanpa batasan. Kita tidak ditegah berhibur tetapi jika hiburan itu (sekalipun mendengar nasyid) melekakan kita daripada menunaikan kefardhuan solat atau ibadah lain seperti belajar maka ia tetap dilarang.
Saudara seimanku yang disayangi, sedarlah betapa pentingnya solat jamaah ini dan berusahalah untuk mengerjakannya sehari-hari. Jika diajukan kepada kanak-kanak yang kecil satu biji gula di sebelah tangan kiri dan 27 biji di sebelah kanannya, maka si anak kecil ini akan menggapai tangan kanan yang mempunyai lebih banayak gula-gula. Dan adalah pelik bagi kita jika memilih yang sebaliknya.
Sekian buat renungan kalian.

No comments: